Kekar dan Retakan Ricih


Kekar dan Retakan Ricih

* Kekar adalah retakan di mana tidak terdapat peralihan yang ketara selari dengan retakan dan sedikit pergerakan tegak kepada satah retakan.

* Kekar terhasil apabila terdapat canggaan dalam batuan yang agak rapuh. Jenis kekar yang terbentuk bergantung samada ia adalah akibat daya tarikan atau daya mampatan.

* Sekiranya akibat tarikan, ia biasanya merupakan pembukaan dalam batuan. Sekiranya akibat mampatan, ia merupakan koyakan pada batuan, dan dikenali sebagai retakan ricih.

* Kekar merupakan struktur yang paling biasa dalam batuan, samada yang sudah keras atau masih peroi.

* Oleh yang demikian kekar kerap digunakan untuk menganalisis punca sesuatu canggaan serta keadaan bahan itu semasa tercangga.

* Kekar boleh menjadi perangkap bagi mineral industri tertentu. Ia juga menjadi saluran untuk air tanah bergerak, terutama dalam batuan igneus dan metamorf. Orientasi kekar pada singakapan jalan boleh mempengaruhi pembinaan dan penyelenggaraannya.

* Kekar merupakan permukaan planar yang tidak seragam dan boleh terbentuk secara sistematik atau tidak sistematik.

* Kekar yang sistematik mempunyai orientasi yang selari dan “spacing” yang seragam. Kekar yang mempunyai orientasi yang sama dikenali sebagai set kekar. Sekiranya ada lebih daripada dua set kekar, maka terbentuk sistem kekar.

* Kekar yang tidak ada orientasi tertentu dikenali sebagai kekar tidak sistematik, dan biasanya jarang dijumpai.

* Kekar sistematik mungkin terbuka dan tidak diisi oleh sebarang mineral. Biasanya ia merupakan kekar yang agak mudah.

* Kekar dan retakan ricih yang diisi oleh mineral tertentu dikenali sebagai telerang. Mineral yang mengisi biasanya terdiri daripada kuarza, kalsit, feldspar, klorit, zeolit, bergantung pada suhu pembentukannya.

* Kedua-dua retakan, samada yang berisi atau tidak, hadir secara berpasangan, atau bersistem konjugat. Syaratnya, ia terbentuk pada masa yang hampir sama.

* Set Konjugat ini boleh dihasilkan oleh mampatan dan tarikan. Kebanyakan bertemu pada sudut kecil dan mewakili retakan ricih.

* Kebanyakan set kekar dianggap sebagai set konjugat, sekiranya tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa ia terbentuk pada masa yang berlainan. Biasanya kehadiran set konjugat yang lain akan memotong set konjugat yang awal.

Analisis Retakan

* Kajian mengenai kekar pada suatu kawasan memberitahu kita mengenai urutan, masa dab arah sesuatu canggaan rapuh sesuatu batuan.

* Kajian orientasi kekar sistematik memberi maklumat mengenai orientasi satu atau lebih tegasan utama yang telah bertindak.

* Orientasi kekar boleh ditentukan dengan mengukur jurus dan miringan satahnya pada kawasan yang luas.

* Penentuan am bagi orientasi rantau kekar boleh dilakukan dengan mengukur jurus bagi bahagian anak sungai yang lurus melalui peta topografi, gambar fotoudara atau imej satelit.

* Data di atas boleh dianalisis untuk membantu kita memahami hubungan antara kekar dan pengaruhnya terhadap perkembangan saliran serta bentuk topografi yang lain.

* Pada kawasan yang masih aktif, data kekar dan retakan memberi tahu kita mengenai orientasi lapangan tegasan dan hubungan mereka dengan struktur utama.

* Data biasanya diplot menggunakan jaringan kawasan sama luas, sekiranya bersudut kecil atau menggunakan rajah ros sekiranya bersudut besar.

Mekanisma Pembentukan Retakan

* Ada cadangan bahawa orientasi kekar pada sedimen penutup mungkin dikawal oleh tegasan yang terdapat pada besmen berhablur di bawahnya.

* Walau bagaimanapun ada yang berpendapat bahawa kebayakan kekar yang ada di permukaan bumi sekarang adalah hanya akibat dari lapangan tegasan sekarang.

* Retakan biasanya terbentuk semasa berlaku perlipatan rapuh. Ia mungkin terbentuk secara menegak, selari atau oblik dengan paksi lipatan dan satah paksi, bergantung kepada keadaan tegasan (Rajah).

* Kekar biasa juga terbentuk berdekatan dengan sesar rapuh. Pergerakan sepanjang sesar biasanya menghasilkan suatu siri kekar secara sistematik, di mana jarak antara mereka menjadi lebih kecil dan bilangan meningkat dekat dengan sesar.

Mekanik Kekar dan Retakan Ricih

* Teori dan kajian di lapangan menunjukkan bahawa bendalir memainkan peranan yang penting dalam pembentukan kekar. Kekar lebih senang terbentuk sekiranya bendalir hadir, melalui pemecahan hidraulik (hydraulic fracturing).

* Bendalir bertekanan tinggi boleh masuk ke dalam retakan kecil (kecacatan sedia ada) dan meneruskan propagasi retakan yang lebih meluas. Propagasi sesuatu kekar itu boleh terhalang akibat perubahan jenis batuan di sebelahnya.

* Mengikut Engelder (1985) ada empat kategori kekar berdasarkan kepada persekitaran dan mekanisma pembentuknya, iaitu tektonik, hidraulik, pengurangan beban (unloading) dan kekar pelepasan (release joints).

* Kekar tektonik dan hidraulik terbentuk pada kawasan dalam, akibat tekanan bendalir yang abnormal. Kekar hidraulik terbentuk semasa penimbusan dan pemampatan menegak sedimen lebih daripada 5 km dalam.

* Pada kawasan dalam bendalir tidak dapat lari dengan mudah kerana ketelapan adalah kurang.

* Kekar tektonik juga terbentuk pada keadaan yang sama, tetapi tegasannya datang daripada mampatan mendatar. Kekar tektonik boleh terbentuk pada kedalaman kurang 3 km. Contohnya, kekar pada batuan terlipat dan tersesar.

* Kekar pengurang beban dan pelepasan terbentuk dekat dengan permukaan, semasa hakisan mengeluarkan bebanan permukaan, dan bila berlaku pengecutan termo-elastik.

* Kekar pengurangan beban berlaku bila separuh daripada beban permukaan asal dikeluarkan daripada batuan pada kedalam sekitar 200-500 meter.

* Tegasan semasa atau sisa tegasan kuno membantu mengawal orientasi kekar ini. Contonya, kekar dalam batuan pluton terdedah yang selari dengan permukaan (sheeting).

* Kekar pelepasan biasanya dikawal oleh fabrik asal batuan. Ia terbentuk akibat pelepasan tegasan utama dalam suatu batuan, dan biasanya berorientasi tegak dengan arah mampatan asal. Contohnya, kekar pada batuan terlipat.

* Selain daripada tiga kategori kekar di atas, ada juga kekar yang terbentuk akibat penyejukan magma. Batuan pluton membentuk kekar kolum. Kekar kolum boleh ditindih oleh set kekar lain kemudian.
diunduh dari http://www.ums.edu.my/sst/geo/Kekar.htm

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: